Thursday, July 31, 2014

Aduan terhadap syarikat pest control

  Ano Nyme       Thursday, July 31, 2014
Aduan terhadap syarikat pest control

Sejak awal tahun 2000 lagi, bilangan syarikat pest control di Malaysia telah bertambah dengan begitu banyak sekali. Ini berikutan bertambahnya jumlah permintaan terhadap perkhidmatan kawalan serangga dan makhluk perosak di negara kita.

Kenapa syarikat pest control bertambah

Oleh kerana permintaan terhadap aktiviti kawalan serangga dan makhluk perosak meningkat dari tahun ke tahun, maka kemunculan syarikat pest control juga bertambah dari tahun ke tahun. Masalah bagi masyarakat merupakan peluang bagi mereka yang berjiwa usahawan.

Permintaan terhadap perkhidmatan kawalan serangga dan makhluk perosak meningkat mungkin disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

  1. Peningkatan terhadap pendidikan - Hasil daripada meningkatnya status pendidikan orang ramai, membuatkan rakyat lebih peka terhadap kepentingan melakukan usaha mencegah keburukan yang boleh dihasilkan oleh serangga dan makhluk perosak.
  2. Kesedaran terhadap kesihatan - Masyarakat yang peduli terhadap kesihatan semakin meningkat. Ada banyak serangga dan makhluk perosak yang dikaitkan dengan masalah kesihatan. Oleh itu, penjagaan dan pencegahan serangga dan makhluk perosak jenis ini mendapat permntaan tinggi dari masyarakat yang peka.
  3. Perubahan gaya kehidupan - Jumlah rakyat yang lahir di bandar meningkat dari tahun ke tahun. Ini membuatkan mereka yang tidak biasa dengan gaya hidup kampung berkurangan. Sebaliknya mereka yang terbiasa dengan gaya hidup bandar bertambah. Orang kampung biasa dengan serangga dan ungas liar manakala orang bandar merasakan semua itu adalah satu masalah yang menakutkan.
  4. Perkembangan saiz perbandaran - Jumlah dan saiz bandar di negara kita semakin tahun semakin membesar. Apabila sesuatu kawasan yang dahulunya merupakan hutan atau belukar, bertukar menjadi bandar, ia menjemput masalah serangga dan makhluk perosak. Ini kita namakan Urban Pest, yang wujud apabila kampung atau hutan bertukar menjadi bandar.
  5. Perubahan cuaca - Cuaca sekarang tidak menentu. Paling ketara adalah masalah cuaca panas yang semakin lama semakin tidak selesa. Cuaca panas ini disebabkan oleh berbagai faktor. Salah satu faktornya adalah berkurangannya jumlah pokok atau hutan di sekitar bandar. Ini menggalakkan perkembangan serangga merbahaya seperti nyamuk. Permintaan terhadap kawalan serangga seperti nyamuk sekarang semakin meningkat.
  6. Penguatkuasaan undang-undang - Pihak majlis perbandaran telah mula mewajibkan setiap premis yang menjalankan perniagaan mendapatkan perkhidmatan pest control. Terutamanya premis perniagaan yang melibatkan makanan dan juga hiburan, aktiviti kawalan serangga dan makhluk perosak perosak perlu dijalankan sebelum lesen premis perniagaan dikeluarkan.

Syarikat pest control bertambah, aduan bertambah

Memang logik jika aduan terhadap syarikat pest control bertambah apabila jumlah syarikat pest control bertambah. Kemunculan banyak syarikat baru bermakna jumlah syarikat yang kurang pengalaman dalam selok beluk industri pest control juga bertambah.

Banyak syarikat pest control muncul diasaskan oleh bekas pekerja yang dulunya bertugas sebagai penyelia atau pekerja syarikat pest control yang besar dan stabil. Para pekerja ini melihat mereka mampu menjalankan perniagaan yang sama setelah tahu serbabsedikit tentang teknik kawalan serangga dan makhluk perosak.

Syarikat pest control kurang mahir

Namun begitu, kebanyakan daripada bekas pekerja di syarikat pest control itu hanya mahir dalam urusan operasi syarikat sahaja. Mereka mungkin lemah dari segi aslek keseluruhan pengurusan sebuah perniagaan dan juga syarikat. Ini boleh mendatangkan masalah kepada para pengguna.

Syarikat pest control kurang modal

Kekurangan modal juga menjadi punca syarikat-syarikat tidak berpengalaman menggunakan teknik dan proses yang tidak selamat. Mereka juga mungkin tidak mampu merekrut para pekerja yang bertauliah dan berlesen yang biasanya menuntut gaji yang agak tinggi.

Penggunaan para pekerja yang tidak ada pengalaman dan tidak bertauliah serta tidak berlesen adalah satu masalah terutamanya dari segi keselamatan.

Syarikat pest control yang tak cukup modal juga sering mengambil bahan kimia atau racun pest control daripada pasaran gelap. Ini dilakukan untuk menjimatkan kos operasi di mana kos bahan kimia dari pasaran gelap jauh lebih murah.

Syarikat pest control guna racun merbahaya

Kadangkala, pasaran gelap menawarkan racun pest control daripada bahan yang telah diharamkan di pasaran. Racun yang diharamkan biasanya disebabkan tahap keracunannya yang merbahaya kepada pengguna.

Apabila racun jenis ini digunakan dalam aktiviti kerja kawalan serangga dan makhluk perosak, ia mendatangkan kesan yang bahaya pada pengguna yang tak tahu apa-apa.

Aduan terhadap syarikat pest control

Jika anda ada pengalaman terhadap syarikat pest control yang tidak memuaskan hati, anda boleh buat aduan pada persatuan pest control Malaysia atau PCAM.

Anda juga boleh buat aduan di blog ini dengan memberikan maklumat atau butiran berkenaan nama syarikat serta masalah yang anda hadapi.

Sila gunakan borang 'contact' di atas untuk buat aduan terhadap masalah yang anda hadapi. Insyallah, aduan tersebut akan saya ketengahkan pada persatuan pest control Malaysia untuk perhatian mereka.

Jika anda rasa mahu buat aduan secara terang, gunakan ruang komen di bawah dan nyatakan butiran terperinci tentang masalah yang anda hadapi. Syarikat yang bertanggung jawab yang prihatin terhadap masalah anda akan menjawab komen itu jika mereka serius mahu berkhidmat dan kekal lama di pasaran.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Aduan terhadap syarikat pest control

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment