REBECCA Saw tidak pernah suka pada doktor. Bukan sebab takut pada ubat ataupun jarum, tetapi wanita berusia 29 tahun itu menganggap berjumpa dengan doktor itu satu perkara yang membazir masa.
Persepsi itu bagaimanapun berubah selepas dia pengsan di jalan raya pada suatu hari.
Waktu itu, demam panas yang berlarutan sejak seminggu lalu masih belum reda dan dia juga terasa pening. Lalu, kenderaan yang dipandu diberhentikan serta-merta di bahu jalan.
Belum sempat dia berbuat apa-apa, sekujur tubuh lemah itu terus 'koma' seketika.
"Apabila sedar semula, saya dapati rupa-rupanya saya pengsan di dalam kereta dengan enjinnya masih hidup. Tak dapat saya bayangkan akibatnya kalau saya pengsan sewaktu memandu," ceritanya dalam satu majlis pelancaran kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi, tidak lama dahulu.
Tanpa melengahkan masa, anak kelahiran Pulau Pinang itu terus memandu ke sebuah klinik terdekat. Tindakan ternyata tidak silap.
Sebabnya, demam panas yang nyaris-nyaris meragut nyawanya di tengah jalan akhirnya disahkan sebagai demam denggi.
Rebecca terpaksa dimasukkan ke wad selama seminggu.
Insiden tersebut sesungguhnya cukup terkesan dalam ingatan Rebecca. Lebih-lebih lagi kesakitan yang perlu dilalui oleh pesakit demam denggi sepertinya sangat menyeksa minda dan fizikal. Malah, ia sukar untuk diterjemahkan dalam kata-kata.
Senario ini bagaimanapun cukup difahami oleh Suzanne Selvarajah, 35 tahun. Tidak mungkin lupa akan episod pahit bergelut dengan demam denggi, wanita ini sebenarnya bertuah kerana terselamat daripada maut kali kedua akibat demam denggi.
Kali pertama bergelar mangsa denggi kira-kira sedekad yang lalu, dia baru berusia 26 tahun.
"Masa itu, selama tiga hari berturut-turut saya demam panas. Jadi, saya bergegas untuk berjumpa dengan doktor dan digesa menjalani ujian darah.
Barulah saya sedar amaun platelet darah sudah berada di bawah 100 dan saya terpaksa dimasukkan ke wad," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Sejujurnya seperti kebanyakan orang, Suzanne langsung tidak menduga demam denggi boleh menjadi begitu serius.
Selain memerlukan perhatian perubatan penuh, dia turut 'bergelut' dengan rasa sakit pada serata tubuh dalam tempoh empat hari dia dimasukkan ke wad.
Setelah pulih, jauh daripada jangkaannya dia akan diserang insiden sama buat kali kedua.
Demam panas yang menyerangnya pada pembuka tirai tahun 2008 itu jauh lebih 'mendidih' suhunya sehinggakan Suzanne terpaksa bergolek-golek di atas lantai marmar berkali-kali.
Panas
"Saya baring di atas lantai untuk menyejukkan badan.
Setiap kali bahagian yang dibaring menjadi panas, saya akan bertukar tempat dan keadaan itu berulang banyak kali," ujarnya berterus-terang.
Malah, demi untuk membuang 'panas' badan itu, pelbagai petua lama dan moden turut dicuba oleh Suzanne termasuk nasihat mendiang ibu mertuanya yang mencadangkan agar dia 'mengewap' tubuh ala sauna.
Malangnya segala usaha itu sia-sia.
Sebabnya, situasi kali ini nyata tidak semudah serangan kali pertama. Lebih memburukkan keadaan, dia disahkan mendapat sejenis demam denggi yang lain daripada empat kategori denggi sedia ada.
Di hospital kerajaan tempat Suzanne menerima rawatan kecemasan, bilangan platelet darahnya kian menurun. Daripada sejumlah 42 platelet, bilangan itu menjunam kepada 36.
"Darah mulai mengalir keluar dari kedua-dua belah telinga saya.
Keadaan menjadi sangat kritikal dan doktor terpaksa memberikan plasma beku segar secara intravena," tambahnya.
Tetapi usaha itu diberhentikan apabila seluruh tubuh Suzanne dipenuhi dengan tompok-tompok besar berwarna merah. Dia juga diserang sawan.
Bagi mengawal suhu badannya, Suzanne diletakkan di bawah aliran air.
Pada peringkat itu, jumlah platelet darahnya telah mencecah 28 - satu keadaan yang sangat meruncing hingga mengakibatkan dia berada dalam tahap kejutan kritikal (DSS).
"Bayangkan, setiap kali saya berpusing, ada kesan darah di atas bantal. Hanya selepas saya menyentuh mata, baru tahu ada air mata berdarah. Rasa seperti mayat yang disumbatkan kapas pada semua rongga wajah kerana mata, telinga dan hidung, semuanya berdarah," jelasnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu.
Belum cukup dengan penyeksaan itu, anak kelahiran Melaka itu turut mengalami kesakitan tulang yang serius. Menyifatkan rasa sakit itu seakan-akan tulang yang dipulas kuat, dia hanya mampu bertahan dengan curahan air mata setiap hari. Trauma berada di wad sekitar 16 hari bagi Suzanne akhirnya sampai ke penghujung apabila dia ditempatkan di dalam sebuah kotak yang berisi air sejuk.
MANGSA denggi hilang selera makan, loya, demam dan sakit seluruh badan.
Kini, selepas hampir dua tahun terlepas daripada ambang maut denggi buat kali kedua, Suzanne sedar dia sememang sangat bernasib baik.
Tetapi menerusi tindakan pantas dan pengetahuan yang betul tentang demam denggi, sesiapa sahaja boleh mengelak daripada gigitan nyamuk Aedes.
"Mencegah denggi sebenarnya tidak sukar. Sesiapa pun boleh melakukannya dan semua ini hanya memakan masa 10 minit seminggu," tambahnya sambil memberitahu kini, senarai barangan runcitnya termasuk dua botol penyembur aerosol.
Kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, itu merupakan anjuran bersama pengeluar jenama produk kawalan serangga terkemuka, Reckitt Benckiser bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.
Datuk Rosnah yang melahirkan rasa bimbang terhadap bilangan kes denggi yang meningkat turut menggesa orang ramai agar datang ke hospital untuk diagnosis awal.
"Denggi tidak memilih mangsanya dan sebab itulah semua orang perlu bertanggungjawab untuk bertindak membanterasnya bagi memastikan keluarga serta persekitaran kediaman kita bebas daripada penyakit maut ini," tambahnya.
Dalam konteks dunia, sekitar 50 juta hingga 100 juta orang menderita akibat denggi. Di Malaysia pula, statistik menunjukkan bilangan kes denggi turut meningkat. Pada tahun 2006, Malaysia merekodkan sejumlah 30,285 kes denggi dengan 49 kematian dan angka tersebut meningkatkan kepada 48, 846 pada tahun berikutnya. Angka kematian juga bertambah kepada 98 dengan sejumlah 49,335 kes pada tahun 2008.
Perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh pula berkata, adalah mustahak seseorang mangsa denggi untuk melindungi diri daripada serangan kali kedua. Demam denggi yang terdiri daripada Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4 biasanya mendominasi pada musim-musim berbeza.
Kitaran denggi dikatakan hadir pada setiap lapan atau 40 tahun.
"Lazimnya, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi.
Sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi," katanya.
Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.
Masuk fasa kedua atau fasa kritikal (hari ketiga hingga hari ketujuh), demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda. Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek.
Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama. Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini.
Sebabnya imunisasi tidak hadir untuk semua jenis denggi.
"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius. Kosmo
[Iklan:]
[ "PestSciences menyediakan khidmat 'Pest Control' secara profesional bagi mengawal masalah serangga dan makhluk perosak anda. PestSciences juga menyediakan khidmat pemeriksaan anai-anai (Termite Inspection) secara percuma untuk premis anda. Hubungi 019-226 0807 bagi mendapatkan khidmat nasihat percuma atau email ke info@pestsciences.com " ]
[PestSciences provide profesional pest control services to get rid of your Termites, Cockroaches, Ants, Rats, Mosquitoes, Bedbugs and other pests problem from your premises. Call 019-2260807 to get rid of your pest problems or email us at info@pestsciences.com]
No comments:
Post a Comment