Saturday, October 16, 2010

Bagaimana Mengawal Lipas Di Rumah

  Ano Nyme       Saturday, October 16, 2010
Lipas Jerman
Dalam siri yang telah lalu kita telah diterangkan maklumat berkenaan lipas dan mengapa ia amat penting untuk dikawal.

Terdapat dua pilihan untuk mengawal lipas di rumah kita:

  1. Samada kita melakukannya sendiri ataupun,
  2. Menggunakan perkhidmatan syarikat kawalan serangga perosak berlesen.

Cara yang paling jimat untuk mengawal lipas adalah dengan melakukannya sendiri.

Anda boleh kawal sendiri dengan menggunakan beberapa teknik yang akan saya terangkan sebentar lagi di bawah. Tetapi ada beberapa perkara yang perlu kita teliti terlebih dahulu sebelum kita dapat melakukannya.

Ambil Perhatian sebelum mengawal lipas di rumah


  • Perkara paling utama ialah memperuntukan masa sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi melaksanakan rawatan. Kebanyakan kita terutamanya yang tinggal di kawasan bandar tidak mempunyai masa hasil dari kesibukan bekerja. Jika adapun kita lebih selesa menggunakannya untuk bersantai bersama keluarga atau berehat.
  • Bagi yang mempunyai masa pula perkara yang perlu diambil perhatian ialah pengetahuan mengenai teknik-teknik kawalan dan sedikit maklumat tentang racun serangga dan cara menggunakannya dengan selamat. Racun walau seringan manapun adalah tetap racun dan berupaya memudaratkan kita, oleh itu pengetahuan mengenainya perlu diberi perhatian dengan serius agar sebarang kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
Kebersihan adalah aspek penting kawalan lipas

Bagaimana mengawal lipas

Bagi mereka yang mempunyai masa dan berminat untuk melakukan sendiri kawalan lipas di rumah, saya akan terangkan cara mudah untuk mengawal serangan lipas dengan menggunakan teknik yang mudah dan berkesan dengan bahan-bahan mudah didapati di pasaraya.

Perkara paling asas dalam kawalan serangga perosak adalah bermula dengan melakukan pemantauan atau pemeriksaan terhadap tahap serangan serangga tersebut di rumah anda.

Pastikan rekahan di kawasan dapur dibaiki
Lipas ialah serangga yang hanya keluar pada waktu malam, jadi jangan sangka jika anda tidak melihat kelibat lipas di waktu siang menandakan rumah anda bebas dari serangan lipas.

Buat pemeriksaan tahap serangan lipas

Untuk mengetahui samada rumah anda ada lipas ataupun tidak, anda boleh cuba melihat dapur rumah anda pada waktu malam dengan pastikan semua lampu rumah ditutup selama lebih kurang setengah jam.

Dengan menggunakan lampu suluh, anda boleh memeriksa keadaan dapur rumah anda di tempat-tempat tersembunyi seperti di bawah singki, di sekitar tong sampah, di lantai dapur dan juga tempat menyimpan barangan makanan kering.

Tabiat lipas suka bahagian atas atau tepi badannya menyentuh sesuatu ketika berjalan atau menyorok
Kebiasaannya lipas yang biasa menghuni rumah kita terdiri daripada Lipas Amerika yang bersaiz besar dan berbau busuk.

Lipas jenis ini biasanya menyorok di celah-celah rekahan longkang, di dalam saluran corong air dari singki dan juga di sekeliling tangki septik najis, maka tidak hairanlah ia berbau busuk.

Terdapat juga satu lagi jenis lipas yang dinamakan Lipas Jerman yang saiznya lebih kecil daripada Lipas Amerika yang kebiasaannya menyerang restoran dan juga hotel-hotel. Kadangkala lipas Jerman ini juga menyerang rumah walupun ia jarang berlaku.

Aerosol untuk lipas biasanya dalam Kelas IV bagi tahap keracunannya

Menggunakan perangkap lipas

Satu lagi cara mudah untuk mengetahui tahap serangan lipas di rumah anda ialah dengan memasang perangkap bergam yang diletakkan di kawasan yang saya sebutkan di atas tadi. Perangkap lipas bergam ada banyak dijual di pasaraya-pasaraya besar.

Pastikan anda memasang perangkap bergam lipas tadi pada dinding atau lantai berhampiran penjuru antara lantai dan dinding. Begitu juga jika anda memasangnya di dalam almari, kawasan bucu adalah kawasan yang lebih digemari oleh lipas daripada kawasan lapang yang terdedah.

Ini adalah tabiat lipas yang lebih selesa merayap dengan memastikan sama ada bahagian atas atau bahagian tepi badannya menyentuhnya sesuatu.

Satu atau dua hari adalah mencukupi untuk mengenal pasti tahap serangan lipas di rumah anda setelah kita memasangnya pada tempat yang strategik dan melihat hasilnya pada keesokkan harinya.

Jika terdapat banyak lipas yang terperangkap bermakna rumah anda berada di tahap yang serius dengan serangan lipas dan anda perlu melakukan strategi yang seperti di bawah.

Rekahan pada pintu dapur memberi ruang
pada lipas untuk menyorok dan membiak

Mengawal lipas dengan Kebersihan

Kebersihan adalah aspek yang paling utama dalam mengawal apa-apa sahaja serangga perosak terutamanya serangga pembawa penyakit seperti lipas ini. Lipas sebenarnya berkongsi makanan dengan kita manusia, hampir apa sahaja yang dimakan manusia merupakan makanan lipas.

Dengan memastikan rumah kita bebas dari sisa-sisa makanan yang bertaburan di tempat-tempat tersembunyi, kita sekali gus menafikan makanan untuk lipas. Ini dapat membantu mengurangkan kehadiran lipas di dalam rumah kita yang tiada makanan untuk lipas.

Bersihkan semua sisa makanan

Cara terbaik bagi membersihkan sisa-sisa makanan dari terbiar di tempat-tempat tersembunyi dan terlindung ialah dengan menggunakan alat penyedut habuk. Pastikan kita mnyedut segala sisa yang terlekat di celah-celah dapur, lantai dan pada rekahan.

Kebersihan juga bermakna memastikan rumah kita sentiasa berada dalam keadaan kering. Kawasan serangan lipas seperti di dapur haruslah sentiasa dilap selepas digunakan terutamanya di sebelah malam. kawasan yang kering dan bersih dari sisa makanan tidak disukai oleh lipas.

Aspek kebersihan perlu ditekankan walaupun anda menggunakan perkhidmatan kawalan serangga perosak profesional kerana penggunaan racun serangga sahaja dalam mengawal lipas tidaklah sempurna jika tidak didahului dengan penjagaan kebersihan.

Tutup semua rekahan

Langkah jangka panjang dalam mengawal lipas  daripada membiak dirumah anda ialah dengan memastikan segala rekahan dan lubang ditutup dengan bahan-bahan yang sesuai.

Sebagai contoh jika rumah anda mempunyai kabinet yang dipasang pada dinding pastikan setiap hujung pertemuan kabinet dengan lantai atau dinding ditutup dengan menggunakan silikon sehingga tiada ruang untuk lipas masuk dan menjadikan tempat membiak atau menyorok di dalamnya.

Begitu juga jika kebiasannya lipas masuk ke rumah anda dari kawasan longkang diluar rumah terutamanya pada belakang daput, anda perlu menutup ruang-ruang yang membenarkan lipas merayap masuk.

Cara yang paling mudah ialah dengan meletakkan gam yang melekat pada celahan di kawasan luar yang akan memerangkap lipas yang merayap masuk dari luar melalui celahan tersebut.

Kawal lipas dengan alat elektronik

Terdapat banyak barangan elektrikal atau mekanikal yang dijual di pasaran yang didakwa mampu mengawal lipas. Ini termasuklah yang menggunakan elektromagnetik, sonik dan juga ultrasonik, mikrovibrational dan juga elektromekanikal yang didakwa berkesan menghalau lipas.

Sehingga kini masih tiada bukti saintifik yang menyokong segala dakwaan tersebut. Anda di nasihatkan agar berhati-hati dengan segala dakwaan itu bagi mengelakkan pembaziran.

Kawalan lipas semula jadi

Untuk pengetahuan anda terdapat serangga yang secara semulajadinya berguna untuk mengawal pembiakan lipas. Sejenis serangga yang kita namakan "angkut-angkut" atau "wasp dalam bahasa ingrerisnya menggunakan telur lipas amerika bagi mengeram telurnya.

Larva angkut-angkut ini akan menggunakan telus lipas sebagai bahan makanan mereka untuk membesar dan sekali gus mengawal pemnbiakan lipas. Jadi jika anda menemui sarang angkut-angkut yang dibuat dari tanah pada dinding rumah anda, ia sebenarnya bagus sebagai bahan kawalan biologi bagi mengawal lipas.

Mengawal lipas dengan Racun Lipas

Setelah anda menyesesaikan aspek kebersihan seperti di atas anda perlu gabungkan dengan sedikit penggunaan racun lipas yang boleh didapati di pasaraya.

Terdapat banyak jenama terkenal yang sebelum ini hanya menjual aerosol racun bagi mengawal nyamuk, namun kini aerosol bagi mengawal lipas juga telah banyak terdapat di pasaran.

Gunakan aerosol khas untuk lipas

Pastikan aerosol yang anda beli adalah khas untuk lipas atau semut dan bukan untuk nyamuk. Kebanyakan racun aerosol ini adalah dalam kelas IV tahap merbahaya racun iaitu yang paling ringan dalam kategori racun, namun seperti yang telah saya katakan di atas tadi racun adalah tetap racun, jadi pastikan anda membaca dengan teliti arahan penggunaannya sebelum mula menyembur.

Ramai yang tidak membaca arahan aerosol lipas ini menganggap ianya sama seperti aerosol nyamuk yang biasa kita gunakan lalu mereka mula menyembur di udara racun yang diperuntukkan khas untuk lipas. Jika anda meyembur ke udara, ia lansung tidak mendatangkan faedah malah mambazirkan wang anda dan merbahaya.

Cara semburan untuk mengawal lipas

Sebenarnya aerosol untuk lipas ini perlu di sembur pada bucu antara lantai dan dinding rumah anda di mana terdapat tanda-tanda kehadiran lipas. Biasanya ruang kawasan dapur perlu di sembur pada tempat yang saya sebutkan tadi.

Jika kabinet dapur anda mempunyai kaki, anda boleh menyembur aerosol tersebut pada sekeliling kaki kabinet dan juga pada bahagian bucu yang menyentuh dinding. Apabila waktu malam dan lipas merayap pada bahagian tersebut, ia akan keracunan dan anda akan dapati banyak yang bergelimpangan mati keesokan harinya.

Untuk menghalang lipas naik ke atas meja makanan anda, anda perlu pastikan meja tidak bersentuhan dengan dinding. Sembur aerosol di sekeliling kaki meja dan juga pada bucu bawah meja untuk menghalang lipas dari menaiki meja. Dengan berbuat begitu anda juga sebenarnya menghalang semut dari masuk ke kabinet atau meja anda.

Setakat itu sahaja cara mudah dalam mengawal lipas dan juga semut di rumah anda. Selamat mencuba.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bagaimana Mengawal Lipas Di Rumah

Previous
« Prev Post

1 comment: